Sirna Cintaku...

Selasa, 17 April 2012

Tsunami


Apakah tsunami?

Tsunami adalah satu siri ombak laut yang merentasi laut dengan jarak gelombang yang sangat panjang dan terhasil apabila berlaku gempa bumi di bawah atau berhampiran dasar laut. Tsunami juga boleh terhasil apabila berlakunya letusan gunung berapi dan tanah runtuh di bawah laut. Di laut dalam, ombak tsunami bergerak dengan kelajuan melebihi 800 km/jam, dan mempunyai ketinggian sebanyak beberapa sentimeter sahaja. Apabila tsunami menghampiri kawasan pantai yang lebih cetek, kelajuan ombak mula berkurangan dan ketinggiannya bertambah sehingga membentuk dinding air dengan ketinggian mencapai puluhan meter.


Di manakah tsunami berlaku?

Setiap wilayah berhampiran laut boleh mengalami tsunami. Walaupun begitu, tsunami yang berskala besar dan sangat berbahaya didapati lebih banyak berlaku di sekeliling Lautan Pasifik dan lautan berhampirannya disebabkan banyak gempa bumi kuat yang berlaku di kawasan itu.

Apakah punca tsunami?

Tidak semua gempa bumi boleh menghasilkan tsunami. Gempa bumi yang berpusat pada kedalaman kurang daripada 70 km di sepanjang zon subduksi boleh menghasilkan tsunami yang sangat berbahaya. Bagi menghasilkan tsunami, pusat gempa haruslah berada di bawah atau berhampiran laut dan menyebabkan pergerakan dasar laut secara menegak dan mendatar (sehingga beberapa meter jaraknya) dalam kawasan yang keluasan sesaran mencapai seratus ribu kilometer persegi. Perubahan dasar laut secara menegak menyebabkan air laut di atasnya berubah dari keadaan keseimbangannya dan seterusnya menghasilkan ombak tsunami. Mekanisma penghasilan tsunami melibatkan jumlah pergerakan dasar laut secara menegak dan mendatar, kawasan di mana gempa terjadi, runtuhan mendapan bawah laut yang berlaku akibat gegaran gempa bumi dan kecekapan pemindahan tenaga gempa dari kerak bumi ke dalam laut.


Apakah perbezaan antara ombak tsunami dan ombak laut?

Ombak tsunami mempunyai jarak gelombang dari puncak ke puncak yang sangat panjang (selalunya melebihi 100 km) di laut dalam. Perbezaan masa di antara setiap puncak gelombang adalah dalam lingkungan kira-kira 10 minit sehingga 1 jam. Tenaga di dalam ombak tsunami tersimpan dari permukaan air laut sehingga ke bahagian dasar laut. Apabila menghampiri pantai, kelajuan tsunami semakin berkurangan. Lantaran itu, tenaga di dalamnya akan menumpu secara menegak (ketinggian ombak bertambah) dan mendatar (jarak gelombang berkurangan).


Apakah “tsunami earthquake”?

Tsunami juga boleh dihasilkan oleh “tsunami earthquake”. “Tsunami earthquake” adalah gempa bumi yang berlaku diikuti dengan tsunami berskala besar walaupun magnitud gempa bumi tersebut adalah lebih rendah secara relatifnya. Ciri-ciri “tsunami earthquake” adalah ia berlaku pada kedalaman yang sangat cetek, sesaran berlaku melebihi beberapa meter jaraknya dan keluasan sesaran yang lebih kecil daripada gempa bumi biasa.Gempa bumi ini juga berlaku secara perlahan, di mana pergerakan di sepanjang sesaran di bawah dasar laut berlaku lebih perlahan jika dibandingkan dengan gempa.


Fakta-fakta Tsunami

  • Ombak tsunami boleh bergerak merentasi Lautan Pasifik dalam masa yang kurang dari sehari.Oleh itu, sangat penting bagi kita mengetahui kewujudan tsunami sebaik sahaja ia terjadi. 
  • Keadaan muka bumi di kawasan perairan dan pantai dapat memberi kesan ke atas saiz dan impak tsunami. Terumbu karang, teluk, kuala sungai, keadaan muka bumi bawah laut dan cerun pantai dapat mengubah bentuk gelombang dan kelajuan tsunami ketika ia menyerang kawasan pantai. 
  • Ombak pertama yang melanda tidak semestinya ombak yang tertinggi dalam siri ombak tsunami. 
  • Tsunami dapat bergerak dari lautan sehingga memasuki sungai. 
  • Ombak tsunami juga dapat bergerak mengelilingi sesebuah pulau. Justeru, ia turut membahayakan kawasan pantai yang terlindung daripada arah punca tsunami. 
  • Dalam keadaan tertentu, paras air laut surut dengan tiba-tiba sehingga mendedahkan dasar laut berhampiran pantai sejurus sebelum kedatangan tsunami.
  • Apabila tsunami melanda, ia dapat membanjiri kawasan daratan sehingga 1 km atau lebih dari pantai. Bahaya tsunami dapat berterusan sehinggabeberapa jam selepas kedatangan ombak yang pertama. 
  • Bahaya dan kebinasaan tsunami adalah kesan langsung daripada tiga faktor iaitu kebanjiran, kesan ombak terhadap struktur binaan dan hakisan. 
  • Puing yang dibawa oleh arus tsunami yang kuat juga menjadi punca bahaya kerana ia boleh menghentam bangunan, jeti dan kenderaan. 
  • Kebakaran yang disebabkan oleh tumpahan minyak atau letupan kapal di pelabuhan atau tangki penyimpanan minyak yang bocor boleh menyebabkan berlakunya kerosakan yang lebih hebat daripada kerosakan yang disebabkan oleh ombak tsunami secara langsung.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan