Sirna Cintaku...

Selasa, 19 Jun 2012

Demam Bola!! - Taksub Kuasa Tilikan Binatang

Masih ingat ker?


Paul, Sotong yang mempunyai 'kuasa' untuk membuat tilikan yang tepat

Sebelum kemasyhuran Sepanyol sebagai juara kejohanan akhir Piala Dunia 2010 kira-kira dua tahun lalu, sotong kurita yang diberi nama Paul telah mendapat perhatian awal daripada seluruh peminat bola sepak dunia. Paul yang dipelihara di akuarium Sea Life Centre di Oberhausen, Jerman, mula mendapat tumpuan ramai kerana dikatakan mempunyai 'kuasa' untuk membuat tilikan yang tepat.







Sotong yang berasal dari Weymouth, England itu meramal tepat tujuh keputusan perlawanan pasukan Jerman, termasuk kekalahan mengejut kepada Serbia ketika saingan di peringkat kumpulan pada temasya yang berlangsung di Afrika Selatan itu. Pada perlawanan akhir, Paul sekali lagi menjadi tumpuan apabila meramalkan kemenangan pasukan Sepanyol yang ditabal menjadi juara selepas menewaskan Belanda dengan jaringan 1-0.


Sotong kurita, Paul mencipta fenomena tilikan selepas haiwan itu berjaya meramal dengan tepat sepanjang perlawanan Piala Dunia 2010.

Semasa ramalan dilakukan, dua kotak yang tertera bendera pasukan bertanding, diletakkan di dasar akuarium. Sambil disaksikan masyarakat di seluruh dunia, Paul akan berenang ke arah satu kotak, mengembangkan tentakelnya dan melekap pada kotak tertera bendera pasukan yang diramal dan akan memenangi satu-satu perlawanan.

Paul kini hanya tinggal kenangan

Bagaimanapun, usia Paul tidak panjang. Beberapa bulan selepas 'persaraannya', sotong kurita berusia dua tahun setengah itu ditemui mati di akuarium peliharaannya. Namun, fenomena Paul tidak pernah berakhir. Fenomena Paul yang dilahirkan di England dan mendapat status kewarganegaraan di sebuah perkampungan di Sepanyol, menyebabkan rakyat di Jerman seakan-akan taksub dengan haiwan peramal.


Tinggal hanya kenangan...

Tumpuan peminat-peminat bola sepak dunia kini terarah kepada spesies haiwan manakah yang mampu mewarisi keistimewaan dan kuasa tilikan Paul pada kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012 yang berlangsung serentak di Ukraine dan Poland baru-baru ini. Ketika ini terdapat empat kategori haiwan telah dipilih oleh sebuah kelab peminat, Kharkiv Fan Zone yang berpusat di Ukraine untuk menjadi 'tukang tilik' sepanjang kejohanan. Antaranya, Citta the Elephant, Funtik the Pig, Yvonne the Cow, Fred the Ferret dan beberapa haiwan lain. 


Sissi the Munich, spesies anjing dachshund dan sotong kurita dikenali sebagai Rosi dari Rosenheim menjadi pujaan rakyat di negara itu kerana dipercayai mempunyai kuasa tilikan seperti Paul. Bagaimanapun, kedua-duanya terpaksa bersara awal selepas tersilap membuat ramalan menyatakan pasukan Bayern Munich akan menewaskan Chelsea pada kejohanan Liga-Liga Juara pada bulan lalu. Sebaliknya pasukan Chelsea menang secara agregat 4-3 melalui tendangan penalti.

Sissi the Munich, Spesies Anjing Dachshund

Seperti juga Sissi dan Rosi yang terpaksa bergelut membuat ramalan mereka, barisan haiwan-haiwan terpilih yang rata-ratanya dibesarkan di zoo, turut berdepan tugas sukar. Fred the Ferret (Fred), yang menetap di Zoo Kharkiv, Ukraine merupakan pilihan terbaik setakat ini selepas Paul. Dia dipilih dalam kalangan peminat-peminat pasukan bola sepak tempatan, Metalist Kharkiv yang juga dikenali dengan gelaran Ferret. Ahli kelab pasukan itu juga menjadikan feret sebagai maskot mereka.

Pengurus projek Kharkiv Fan Zone, Sergei Kharkov berkata: "Poland mempunyai gajah untuk membuat tilikan, jika tidak salah dinamakan Citta."

"Moscow pula mempunyai marmoset (Callithrix jacchus salah satu spesies monyet), Kiev mempunyai Khryak, seekor khinzir, tetapi kami mempunyai haiwan yang paling comel dan jinak, iaitu seekor feret.

"Fred mempunyai masa selama 15 minit di Fan Zone dan dalam tempoh itu ia akan meramal pasukan mana yang akan menang."

Kehadiran Fred dalam dunia ramalan bola sepak bagaimanapun masih belum teruji sepenuhnya. Ketika perlawanan peringkat pertama antara tuan rumah, Poland dan Greece, Fred meramalkan ia berakhir dengan keputusan seri. Ramalan itu memang tepat.

Pengendalinya menyimpulkan berdasarkan tingkah laku Fred yang enggan duduk di dalam kedua-dua mangkuk berisi daging segar di hadapannya. Bendera kedua-dua negara diletakkan berhampiran mangkuk berkenaan. Bagaimanapun, ketika perlawanan di antara Rusia dan Republik Czech, Fred turut membuat ramalan yang sama iaitu seri, biarpun keputusan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Rusia dengan jaringan 4-1. Namun, Fred berjaya menebus kesilapannya apabila meramalkan dengan tepat kemenangan Jerman ke atas Portugal dan kemenangan Denmark ketika menentang Belanda baru-baru ini.

Seperti Fred, haiwan-haiwan lain juga kini bergelut mencipta kemasyhuran seperti yang pernah dikecapi oleh Paul kira-kira dua tahun lalu. Citta the Elephants dari Zoo Krakow, Poland turut gagal dalam percubaan pertamanya.

Citta the Elephants

Gajah betina berusia 33 tahun itu sebelum ini meramalkan tuan rumah, Poland bakal memenangi perlawanan pembukaan Euro 2012 ketika menentang Greece pada Jumaat lalu. Bagaimanapun, ramalan itu tidak tepat apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga ke akhir perlawanan.

Terdahulu, Citta, gajah berasal dari India mula menjadi sebutan peminat bola sepak dunia selepas meramalkan kemenangan pasukan Chelsea di pertandingan akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich pada bulan lalu. Kejayaan itu membolehkan Citta mengalahkan kedua-dua pesaingnya iaitu Katherine the Donkey danJacko the Parrot.

Sementara itu, kemampuan Yvonne the Cow, lembu yang keras kepala dari Jerman juga masih dipertikaikan. Diletakkan harapan tinggi untuk menggantikan tempat Paul, Yvonne membuat keputusan yang kurang popular di negaranya apabila meramalkan pasukan Jerman kalah kepada Portugal pada perlawanan malam Sabtu lalu. Bagaimanapun, pasukan Jerman berjaya menewaskan Portugal 1-0.

Kemampuan Yvonne the Cow, lembu dari Jerman juga masih dipertikaikan

Yvonne, mula terkenal selepas media melaporkan kisah haiwan itu yang berjaya mengelak daripada disembelih dengan melarikan diri dari Austria sehingga ke Bavaria pada Mei tahun lalu. Selepas bergelut melepasi pagar elektrik, lembu betina itu bersembunyi di hutan kecil selama hampir empat bulan sebelum ditangkap semula dalam satu operasi besar-besaran.

"Ia mempunyai karakter dan personaliti," kata penyampai radio Bayern 3, Ulli Wagner, stesen radio yang bertanggungjawab menghebahkan ramalan Yvonne.



Sementara itu, Funtik the Pig, babi yang berasal dari Ukraine agak bernasib baik kerana berjaya meramal dengan tepat empat daripada enam keputusan perlawanan di peringkat kumpulan pada kejohanan berkenaan. Haiwan itu membuat ramalan dengan memilih antara dua mangkuk makanan yang diletakkan berhampiran bendera kedua-dua pasukan yang bertanding. Sehingga kini, Funtik atau dikenali juga sebagai Khryak berjaya meramalkan kemenangan pasukan Rusia, Denmark, Jerman dan Croatia. Funtik juga tidak terkecuali melakukan kesilapan apabila meramalkan pasukan Perancis menewaskan England dan Sweden kalah kepada Ukraine.

Apa pun, masih terlalu awal untuk menentukan haiwan manakah yang bakal membuat ramalan paling tepat sekali gus mampu menyaingi kemampuan Paul.

Adakah, Paulus the Octopus, sotong kurita yang dilahirkan di Jerman dan kini tinggal di sebuah akuarium di Porto, Portugal serta disebut-sebut bakal menjadi Paul II mampu mengatasi rekod Paul berjaya meramal dengan tepat sepanjang perlawanan Piala Dunia 2010. Kita tunggu dan lihat...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan